Sesekali, apabila mendapat ni'mat mendirikan solat dalam keadaan tenang dan tanpa gangguan, syahdu terasa apabila membaca Al-fatihah..
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Betapa dalam kasih sayang Mu terhadapku Ya Allah, berbagai nikmat yang Kau kurniakan kepadaku tanpa memerlukan sebarang pengiktirafan dan balasan, betapa ni'mat-ni'mat itu tetap Kau limpahkan walaupun terkadang ku alpa dalam urusan keduniaan.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam
Segala pujian itu milikMu Ya Allah, namum walaubagaimana kerap aku memuji dan mensyukuri ni'matMu, tidak akan pernah mencukupi kerana ciptaanMu dan nikmatMu tidak ku terhitung. Engkaulah Tuhan semesta alam, sedang aku hanya seorang makhluk yang dhaif yang hidup di alam ciptaanMu yang tidak dapat akalku menjangkau.
Setiap kali ku ucapkan ayat "Alhamdulillahi Rabbal A'lamin.." ku bayangkan diriku yang hina ini bersujud kepadaMu sedang aku rendah di dunia dan Engkau tinggi di 'ArasyMu memerhatikan aku disamping makhlukMu yang lain, apakah terdapat sekelumit amalan yang dapat aku banggakan yang dapat membezakanku dari hamba-hambaMu yang lain sehinga aku dapat lebih dekat denganMu?
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Walaupun amalan baikku dapat dihitung dan dosa-dosaku tinggi menggunung, namun atas sifat kasih dan sayangMu Ya Allah, aku memohon; ampunilah dosa-dosaku dan terimalah amalan-amalanku yang tidak seberapa ini. Janganlah Engkau murka terhadapku Ya Allah dan janganlah Engkau mengharamkan aku dari ni'mat kasih dan sayangMu Ya Allah.
Ynag Maha Menguasai di hari pembalasan
Ya Allah,Yang Maha Pengasih lagi Penyayang, aku memohon terutama sekali di hari pembalasan, berlembutlah denganku Ya Allah, walaupun kekuasaan di tanganMu Ya Allah, dan Kau berkuasa dan berhak untuk menghukumiku Ya Allah. Kasihanilah aku dan ampunkanlah dosa-dosaku Ya Allah.
Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepadaMu kami minta pertolongan
Hanya Engkau yang layak disembah Ya Allah, aku tahu tatkalaku bersujud, ramai lagi hambamu di setiap pelusuk dunia ini sedang bersujud kepadaMu Ya Allah, namun ku tetap berharap akan perhatianMu Ya Allah, dan berharap Kau terima sujud dan ibadahku ini Ya Allah. Sujud seorang hamba dari jutaan hambaMu di dunia ini.
Tunjukilah Kami jalan yang lurus
Ku berharap Ya Allah.. kau berikanlah aku hidayah ke jalan yang benar, dan tetapkanlah imanku ke atasnya Ya Allah, sesungguhnya aku sedar aku ini lemah dan sentiasa bertarung dengan nafsuku. Oleh itu, selamatkanlah aku jika aku tersesat jalan dan kembalikanlah aku ke jalanMu yang lurus, perhatikanlah aku sentiasa Ya Allah dan lindungilah aku, kerana aku amat berharap akan perlindunganMu.
Jalan orang-orang yang telah Engkau beri ni'mat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat
Tunjukilah aku ke jalan mereka yang kau redhai Ya Allah, dan jauhilah aku dari jalan mereka yang Kau murkai dan jalan mereka yang sesat. Sesungguhnya aku tidak mahu Kau murka terhadapku Ya Allah, betapa sedihnya aku sekirannya Kau murka terhadapku Ya Allah, dan betapa ruginya aku jika Kau murka terhadapku sedang rahmahMu begitu luas dan janganlah Engkau membiarkan aku dalam kesesatan Ya Allah. Ya Rabbal 'Alamin.
Sekadar berkongsi, Wallahu A'lam.